News

Pembukaan semula sektor pelancongan memberangsangkan
Posted on : 03 Oct 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

SANTUBONG: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengalu-alukan pembukaan semula sektor pelancongan di negeri ini bermula 1 Oktober lepas. 

Katanya beliau berpeluang melawat Taman Negara Bako semalam dan berpuas hati dengan jumlah kedatangan pelawat ke taman itu pada hari pertama dibuka selepas sekian lama ditutup. 

“Lepas ini banyak lagi taman negara akan dibuka dengan pematuhan ketat garis panduan (SOP). 

“Kita juga berusaha untuk pastikan pelancongan domestik kembali rancak dimana hotel-hotel dan pusat peranginan menurun kadar penginapan sebanyak 50 peratus,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri ke Kampung Budaya Sarawak (SCV) dekat sini hari ini. 

Pada sidang media itu Abdul Karim sekali lagi meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memperhalusi sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah bagi tujuan pelancongan. 

Katanya beliau tidak setuju dengan sekatan perjalanan ini yang memerlukan permit polis untuk rentas daerah dan kelulusan JPBNS untuk tujuan rentas negeri, 

“Kalau sudah lengkap dua vaksin tidak perlu halang kemasukan ke negeri ini atau perjalanan rentas daerah. Ini perlu diperhalusi JPBNS,” katanya. 

Bagi kanak-kanak pula katanya, tidak menjadi masalah untuk mereka berada di tempat awam bersama ibu bapa yang telah lengkap divaksin. 

Situasi COVID-19 katanya sudah menjadi endemik dan rakyat katanya kini perlu hidup bersamanya. 

Malah katanya statistik menunjukkan 99 peratus daripada kes harian COVID-19 adalah kategori 1 dan 2.

Jadi tidak perlu terlalu bimbang kerana meskipun dijangkiti gelajanya tidak teruk selepas divaksin. 

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim turut bersedih dengan insiden bot karam di perairan Pulau Satang semalam. 

Bagaimanapun beliau menegur pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menghentikan operasi awal pada jam 6.30 petang semalam. 

Katanya, pasukan SAR dilengkapi dengan kepakaran dan peralatan lebih baik daripada komuniti tempatan. 

Jadi katanya jika komuniti tempatan dapat meneruskan pencarian tanpa kepakaran dan peralatan, mengapa tidak pasukan SAR. 

“Saya sedar teguran saya ini mungkin tidak disenangi sesetengah pihak. Tetapi apabila berlaku musibah seperti ini, pasukan SAR perlu bertindak pantas,” katanya. 

Tambah Abdul Karim kerajaan negeri membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk Sarawak Coastguard tetapi kelibat Sarawak Coastguard ini tidak dilihat. 

 

https://www.utusanborneo.com.my/2021/10/03/pembukaan-semula-sektor-pelancongan-memberangsangkan